Showing posts with label Aktiviti. Show all posts
Showing posts with label Aktiviti. Show all posts

Satu himpunan perdana bagi Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) akan diadakan pada 31 Oktober ini.

Jawatankuasa JMB dari seluruh negeri Selangor adalah dijemput untuk menghadiri himpunan tersebut.

JMB adalah badan yang menguruskan kediaman berstrata seperti pangsapuri atau kondominium sebelum hakmilik strata dikeluarkan.

Himpunan ini adalah anjuran bersama Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Himpunan itu akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Program akan bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang.

Di antara acara-acara menarik hari itu adalah ceramah penerangan tentang pengurusan JMB dan bengkel-bengkel membincang isu-isu berkaitan kediaman bertingkat.

Selain dari itu terdapat kaunter khidmat nasihat, kaunter-kaunter Pihak Berkuasa Tempatan dan pameran-pameran. Makan tengah hari adalah disediakan kepada semua yang hadir.

Tujuan-tujuan utama himpunan itu adalah,

1.) Membimbing JMB tentang cara-cara menguruskan bangunan mereka dengan cekap dan berkesan.
2.) Peluang bagi JMB berkongsi atau mengemukakan masalah-masalah mereka.
3.) Saluran bagi Kerajaan Negeri mendapatkan maklumbalas dari JMB tentang polisi-polisi dan peraturan-peraturan yang telah atau akan dilaksanakan.

Himpunan ini akan diresmikan oleh YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid, Dato' Menteri Besar Selangor.

Bagi mereka yang berminat untuk hadir diharap dapat menghubungi 0132965469 (Azli) atau 0132069522 (Kamaruzaman ). Mereka juga boleh menghubungi pejabat Pihak Berkuasa Tempat yang terdekat.

Selain dari Jawatankuasa JMB, mereka yang berminat untuk mengetahui tentang pengurusan kediaman bertingkat turut dijemput hadir.

Cabutan bertuah akan diadakan dengan 10 peserta akan mendapat penginapan 1 malam percuma di Hotel De Palma, Ampang.

Iskandar A. Samad
Pengerusi Jawatankuasa Tetap / Exco
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
18 Oktober 2010

"Kemakmuran dan kesejahteraan hidup akan tercapai apabila manusia menggunakan segala tenaga yang dibekalkan itu dengan niat yang betul dan dengan cara yang tidak bertentangan dengan syariat, maka ianya menjadi ibadat. Dengan demikian manusia bukan sahaja akan menikmati manfaat di dunia bahkan mendapat balasan yang kekal di akhirat. Manusia seperti ini merupakan makhluk yang menghuni syurga yang mendapat dua hasanah – hasanah di dunia dan hasanah di akhirat."


Demi kejayaan rebutlah lima masa;
"Mudamu sebelum tua,
Sihatmu sebelum sakit,
Kayamu sebelum fakir,
Lapangmu sebelum sibuk,
Hidupmu sebelum mati."

(Hadis Nabi Riwayat AL-Bukhari 194 – 256 H)

Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana memperingati peristiwa penting yang telah berlaku dalam sejarah Islam. Dimana Nabi Muhammad SAW telah melakukan perhijrahan dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi.
Di Rose Apartment juga tidak ketinggalan untuk membuat sambutan sempena untuk memperingati hari yang bersejarah itu. Oleh kerana Awal Muharam jatuh pada awal Januari, Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Tahun Baru telah diadakan serentak pada 3.1.2009. Seperti biasa sekiranya ada program sebegini, penduduk setempat akan bergotong royong untuk memasak, memasang khemah dan seumpamanya agar majlis dapat berjalan dengan lancar.



Ustaz Sobri Abdul Rani menyampaikan ceramah bertajuk "Bersama Tekad dan Azam Baru".
Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor, Encik Rosyam bin mohamad(kiri berbaju putih) turut hadir untuk menyampaikan kuliah.

Pada tahun ini dua Tokoh Maal Hijrah Rose Apartment telah dipilih.

Semoga tahun baru ini membawa keberkatan pada diri kita semua dan umat Islam sedunia. Amin.

Rasulullah SAW bersabda:
"Tiada suatu amalan anak Adam di hari Nahar (hari menyembelih korban)yang lebih disukai oleh Allah SWT, selain dari menyembelih korban. Korban itu, di hari kiamat akan datang dengan cukup segala anggotanya, tanduk, kuku dan bulunya. Dan darah sembelihan itu akan tumpah ke tempat yang disediakan oleh Allah sebelum ia jatuh ke bumi."
(Riwayat at-Tarmizi dan Ibnu Majah dari Aisyah r.ha)

7 Disember 2008
Seawal 9.00 pagi warga Rose Apartment telah berkumpul untuk membuat penyediaan tempat untuk Majlis Ibadah Korban yang akan dilakukan esok.

Tidak lengkap rasanya apabila menjelang hari raya tanpa juadah ketupat dan lemang.

Apabila ada lemang sudah tentulah akan disediakan sekali dengan rendang. Oleh itu kaum wanita sama-sama menyediakan bahan untuk memasak rendang.

Kaum lelaki pula berjaga sehingga tengah malam untuk memastikan lemang dimasak dengan sempurna. Juadah ini adalah untuk dijamu pada pagi raya sebelum bermulanya acara ibadah korban.


8 Disember 2008

Hari ini dalam sejarah kerana buat pertama kalinya penduduk Rose Apartment melakukan ibadah korban dan akikah. Sebagai permulaan, hanya dua ekor lembu sahaja yang mampu kami uruskan walaupun ada permintaan untuk menambah seekor lembu lagi.


Hari itu hujan gerimis sampai ke petang. Walaupun begitu, sedikit pun tidak mematahkan semangat warga Rose Apartment untuk sama-sama berganding bahu menguruskan penyembelihan. Alhamdulillah Ustaz Sobri Abd Rani sudi menurunkan skil sembelihan kepada warga Rose.

Sebelum penyembelihann dilakukan, takbir raya dilaungkan bersama-sama....


Setelah itu kaum lelaki bergotong royong untuk melapah, memotong dan membungkus daging korban.


Sebahagian daripada daging akikah diserahkan kepada kaum wanita untuk dijadikan masakan tengah hari.

Inilah chef yang memasakkan sup tulang, daging masak kicap dan sayur campur.


Walaupun jam sudah menunjukkan jam 3 petang... mereka masih setia menunggu dengan sabar untuk menjamah makanan tengah hari.


Sementara itu daging korban yang telah dibungkus telah diagihkan oleh ketua blok masing-masing. Ketua blok telah menghantar daging tersebut ke pintu rumah penduduk untuk memastikan semua akan mendapat daging korban.

Masakan yang lebih juga turut dibungkus dan diagihkan kepada penduduk Rose Apartment.

Alhamdulillah... Majlis Ibadah Korban 1429 Hijrah telah dapat disempurnakan dengan jayanya. Diharap agar kerjasama begini akan berkekalan...sejajar dengan moto kita "Muafakat Membawa Berkat". Mudah-mudahan majlis seumpama ini akan berterusan di masa akan datang.

Hari raya ialah hari umat Islam menyambut kemenangan, setelah sebulan tekun bermujahadah melawan hawa nafsu dengan melakukan ibadah puasa dan diiringi pula dengan pelbagai ibadah sunat. Oleh kerana itu, layaklah mereka merayakan kegembiraan anugerah Tuhan.
Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan, gembira ketika semasa berbuka dan gembira ketika semasa bertemu Tuhannya.”
Kemuncak kegembiraan yang bercampur keharuan dapat dirasai ketika tiba di penghujung Ramadan. Kejayaan menyempurnakan ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain sepanjang bulan Ramadan disambut dengan penuh rasa syukur. Keluar dari bulan Ramadan dan masuk ke bulan Syawal ibarat keluarnya seorang bayi dari perut ibunya dalam keadaan ‘fitrah’ yakni suci dan bersih daripada dosa dan maksiat.
Inilah hakikat sebenar hari raya iaitu hari mensyukuri nikmat kembalinya kita kepada fitrah asal sebagaimana sewaktu kita dilahirkan dahulu. Oleh itu, hari raya paling bermakna bagi orang yang benar-benar berjaya membersihkan hatinya melalui ibadah puasa dan ibadah-ibadah sampingan yang lain sepanjang bulan Ramadan.


Bertempat di Dataran Rose Apartment, sambutan hari raya telah diadakan dengan meriahnya walaupun dalam keadaan bersesak-sesak di dalam khemah kerana hujan turun sedari petang tidak henti-henti.

Sambil menjamah makanan acara cabutan bertuah telah diadakan. Nombor cabutan bertuah adalah mengikut nombor rumah masing-masing.

Ini adalah sebahagian penduduk yang hadir. Cik Rohana pun datang juga. Terima kasih Cik Rohana kerana sudi turut serta meraikan majlis raya di Rose Apartment.

Sebelum pukul sepuluh malam hujan sudah berhenti dan majlis pun bersurai. Sekali lagi penduduk lelaki dan wanita sama-sama bergotong royong untuk membasuh periuk belanga dan membersihkan kawasan.

Blogger Template by Blogcrowds