SHAH ALAM, 24 Jun - Satu pasukan petugas khas sudah dilantik bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyelesaikan masalah penduduk perumahan bertingkat di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Pembangunan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata pelantikan petugas khas yang dikenali sebagai Petugas Khas 663 bertujuan untuk membantu memantapkan tugas PBT berikutan terlalu banyak masalah penduduk sejak akhir-akhir ini.

Katanya, setiap PBT di seluruh Selangor bakal mempunyai seorang wakil petugas dan nama-nama mereka yang dilantik juga sudah ada dalam senarai pihaknya.

“Mereka yang dilantik ini terdiri daripada aktivis pertubuhan bukan kerajan (NGO), bekas kakitangan kerajaan dan mereka yang mempunyai komitmen untuk membantu rakyat”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara tugas petugas khas itu nanti termasuklah mengumpul data-data perumahan bertingkat, menerima dan menyelesaikan masalah penduduk, menjadi penghubung di antara penduduk dan pihak berkuasa, memberi khidmat nasihat, membantu menganjurkan majlis dialog dan mesyuarat serta memberi penerangan kepada penduduk.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan mungkin berlaku rombakan dalam struktur Pesuruhjaya Bangunan.

“Untuk jangka panjang struktur tersebut akan dirombak semula dengan penambahan kakitangan”, katanya rombakan tersebut bakal dilakukan dalam masa enam bulan.

Menurutnya, petugas khas yang dilantik bakal bertindak membantu pegawai Pesuruhjaya Bangunan sehingga rombakan itu selesai. - MURIZA ABDUL HAMID

Sumber: selangorkini

0 comments:

Blogger Template by Blogcrowds