Penduduk buat laporan polis

DAMANSARA – Penduduk Apartmen Flora Damansara semalam membuat laporan polis berhubung tindakan terhadap Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) dan juga pihak pengurusan bangunan yang didakwa gagal menjalankan tugas serta amanah dengan baik.

Pengerusi Persatuan Penduduk Flora Damansara, Abdul Hakim Amir berkata, pihaknya mengambil keputusan itu kerana memikirkan kepentingan awam apabila kedua-dua pihak tersebut dilihat tidak berminat untuk menyelesaikan masalah melibatkan blok di bawah pentadbirannya.

Menurutnya, kedua-dua pihak itu pernah dua kali dijemput secara rasmi melalui surat untuk menghadiri sesi dialog bersama penduduk, namun ia hanya dipandang sepi.

“Kita pernah mengadakan sesi dialog pada 25 dan 29 Mei lalu, namun tiada sebarang jawapan diberikan menyebabkan penduduk mula mempertikaikan kewibawaan kedua-dua badan itu.

“Banyak masalah perlu diselesaikan umpamanya kerosakan pam di Blok D yang semakin serius yang langsung tidak diberi perhatian sejak tiga tahun yang lalu hingga memaksa penduduk di 569 unit di situ hidup dalam tidak selesa.

Menurut Hakim, kerosakan pam yang tidak diberi perhatian itu menyebabkan koridor penduduk digenangi air setelah pam tidak berfungsi yang menyebabkan air tangki melimpah.

Katanya, pihak persatuan penduduk juga kesal kerana JMC dan pihak pengurusan bangunan menuduh penduduk melakukan vandalisme melalui memo yang ditampal di setiap blok.

“Ini merupakan satu fitnah kerana ia bertujuan untuk memburukkan dan menjatuhkan reputasi penduduk kerana tiada bukti kami merosakkan pam itu,” katanya

Dalam pada itu menurut Hakim, pihak Suruhanjaya Bangunan (COB) di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga mengeluarkan arahan secara rasmi supaya pihak pengurusan bangunan mengemukakan akaun kira-kira kepada penduduk untuk diteliti.

Difahamkan pengurusan PAMA Services baru mengambil alih pengurusan bangunan blok C, D, E,F dan H dari Allied Property Management sejak April lalu.

0 comments:

Blogger Template by Blogcrowds